Dalam Padang
Selangor FC mengumumkan penyatuan semula dengan Adidas sebagai rakan kit rasmi kelab untuk musim 2026/27. Pengumuman ini dibuat pada 8 Julai 2026, membawa kembali salah satu perkongsian paling ikonik dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Selangor FC & Adidas Lancar Jersi Musim 26/27 Pada 20 Ogos 2026
Menurut kenyataan rasmi kelab, perkongsian ini bukan sekadar kontrak komersial biasa, ia disifatkan sebagai “reunion” yang membawa kembali bab baharu dalam hubungan yang telah melalui beberapa era paling bermakna dalam sejarah moden Gergasi Merah. Adidas dan Selangor FC dikatakan disatukan oleh semangat #MentalitiJuara, satu nilai yang membawa pemain, penyokong dan komuniti bersama melalui kecintaan terhadap permainan ini.
Jersi Home dan Away Adidas x Selangor FC 2026/27 akan dilancarkan secara rasmi pada 20 Ogos 2026. Setakat ini, kit latihan yang digayakan pemain Selangor FC sudah mendapat sambutan yang sangat baik.
Jenama Yang Mengimbau Kenangan
Bagi peminat, berita ini bukan sekadar tukar jenama jersi. Ia membawa balik ingatan kepada era di mana Selangor FA (nama ketika itu) menjadi kuasa dominan liga tempatan. Era yang turut disaksikan sendiri oleh ramai peminat generasi 2000-an.
Salah satu babak paling tak dilupakan ialah musim 2005, apabila Selangor mendatangkan dua legenda Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy, daripada Persija Jakarta. Gandingan mereka terbukti mengujakan dan Selangor menyapu bersih tiga gelaran dalam satu musim: Liga Perdana Malaysia, Piala FA, dan Piala Malaysia. Bambang sendiri muncul penjaring gol terbanyak liga dengan 23 gol, manakala umpan-umpan Elie Aiboy dari sayap kanan menjadi kunci kepada banyak gol tersebut.
Ramai peminat yang membesar menonton duo ini beraksi di padang masih ingat betapa jersi kelab ketika itu menjadi lambang kebanggaan, “Merah Kuning Lambang Kebanggaan”. Pemulangan Adidas ke Selangor FC membawa nostalgia itu semula ke minda dan jiwa peminat bola sepak tanah air secara amnya
Kenyataan rasmi kelab setakat ini tidak mendedahkan:
- Tempoh kontrak (berapa musim)
- Struktur harga jersi replika untuk peminat
- Sama ada reka bentuk akan mengambil inspirasi daripada jersi era 2005-2007 sebagaimana keluaran Adidas untuk edisi Piala Dunia 2026
Butiran ini dijangka didedahkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran 20 Ogos 2026. Sekiranya kerjasama ini mendapat sambutan yang luar biasa, adakah ia bakal membuka jalan untuk Adidas menaja jersi Pasukan Kebangsaan Harimau Malaya?
