Luar Padang
ANALISIS/PANDANGAN: Artikel ini merupakan pandangan dan analisis penulis berdasarkan liputan media, bukan kenyataan rasmi FIFA atau pihak berkuasa berkaitan.
Sebagai peminat sukan, Piala Dunia adalah antara acara yang paling dinanti. Namun banyak kontroversi berlaku di sebalik keterujaan itu. Acara sukan global seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, mahupun SUKMA di Malaysia yang dianjurkan setiap dua atau empat tahun sepatutnya diraikan bukan sekadar kerana ia memaparkan bakat, tetapi juga semangat kesukanan yang menjadikan manusia lebih manusiawi pada hari ini.
Justeru, senarai di bawah bukan untuk memburukkan, tetapi sebagai pengajaran buat kita dan juga penganjur acara sukan, bukan sahaja di peringkat global malah di peringkat sekolah atau organisasi supaya sukan diraikan lebih daripada sekadar aspek komersial dan hiburan semata-mata.
1. Tuan Rumah: Politik Amerika Syarikat, Sambutan Mesra Kanada & Mexico
Sebagai tuan rumah utama, Amerika Syarikat turut membawa masuk isu politik dalamannya ke dalam gelanggang Piala Dunia. Dasar sekatan perjalanan Presiden Donald Trump yang meliputi hampir 40 buah negara menyebabkan peminat dari negara seperti Haiti, Iran, Senegal dan Cote d’Ivoire menghadapi kesukaran mendapatkan visa untuk menyaksikan pasukan mereka sendiri bertanding di bumi Amerika. Malah, seorang pengadil dari Somalia, Omar Artan, yang sepatutnya menjadi pengadil pertama negaranya di Piala Dunia turut dinafikan kemasukan, manakala kakitangan pasukan Iraq turut ditahan di lapangan terbang. Lebih membimbangkan, kehadiran ejen ICE (Immigration and Customs Enforcement) di sekitar stadium turut mencetuskan bantahan kesatuan pekerja stadium yang bimbangkan tindakan penguatkuasaan imigresen terhadap peminat dan pekerja sendiri.
Ini jelas berbeza dengan suasana di Kanada dan Mexico, dua tuan rumah lain yang tidak menghadapi kontroversi sebegini dalam menyambut pasukan dan peminat antarabangsa.
2. Logo: Variasi Penggunaan Baik, Tetapi Tiada Nilai Seni
Sejak dilancarkan pada 2023 lagi, logo rasmi Piala Dunia 2026 menerima reaksi negatif yang meluas. Ia dikritik kerana terlalu ringkas dan “hambar”. Sekadar angka “26” besar dengan trofi di tengah latar hitam tanpa sebarang unsur budaya yang mewakili ketiga-tiga tuan rumah. Sementara itu, netizen membandingkannya dengan kerja Photoshop pelajar tahun pertama kolej. FIFA sendiri mempertahankan reka bentuk ini dengan alasan kesederhanaan membolehkan ia digunakan dalam pelbagai medium.
3. Lagu Rasmi: Kurang Menarik Seperti Dahulu
“Dai Dai” – lagu rasmi Piala Dunia 2026 nyanyian Shakira bersama Burna Boy, ditulis bersama Ed Sheeran menandakan kali keempat legenda Colombia itu terlibat dengan lagu rasmi Piala Dunia sejak fenomena “Waka Waka” pada 2010. Malangnya, sambutan kali ini agak berbeza. Bagi peminat yang membesar dengan “Waka Waka”, perbandingan ini sukar dielakkan dan ramai bersetuju “Dai Dai” tidak akan dinyanyikan bersemangat di stadium seperti dulu.
4. Harga Tiket Mahal dan Isu “Scalper”
Buat julung kalinya, FIFA menggunakan sistem “variable pricing” atau lebih dikenali sebagai dynamic pricing untuk jualan tiket Piala Dunia. Hasilnya, harga tiket termurah peringkat kumpulan yang pada mulanya diumumkan bermula dari USD60, sebenarnya sukar didapati pada harga tersebut apabila tarikh semakin hampir; sesetengah laporan mendapati harga tiket termurah di sesetengah bandar mencecah lebih USD1,000. Tiket untuk final di MetLife Stadium pula dilaporkan bermula USD8,680, sebelum melonjak sehingga USD32,970 pada bulan Mei. Peguam Negara New York dan New Jersey turut mengeluarkan sepina terhadap FIFA berikutan aduan tentang ketelusan proses jualan tiket ini. Ironinya, FIFA yang mendakwa sistem ini bertujuan menghalang “scalper” sebenarnya dituduh oleh kumpulan peminat sebagai scalper itu sendiri kerana keuntungan daripada jualan semula tiket turut disalurkan kembali kepada FIFA.
5. Jarak Perjalanan yang Jauh
Dengan tiga buah negara dan empat zon waktu terlibat, sesetengah pasukan terpaksa menempuh jarak perjalanan yang melampau. Curacao contohnya dianggarkan mengembara sejauh 5,300 batu (8,600km) pergi-balik dari pusat latihan mereka di Florida ke Houston, Kansas City dan Philadelphia. Bosnia-Herzegovina pula menempuh hampir 5,200 batu (8,400km) merentasi Kanada dan Amerika Syarikat. Turki terpaksa terbang sejauh 1,200 batu dari pusat latihan mereka di Arizona ke Vancouver, perjalanan yang menurut jurulatih mereka mengambil masa beberapa hari untuk pulih. Isu ketinggian (altitud), suhu dan gangguan ritma sirkadian menjadikan cabaran logistik ini setanding, jika bukan lebih berat, daripada cabaran di atas padang itu sendiri.
6. Waktu Perlawanan
Kebanyakan waktu perlawanan disusun untuk memenuhi waktu tayangan utama (prime time) penonton televisyen Eropah bermakna banyak perlawanan dijadualkan pada waktu tengah hari mengikut waktu tempatan di Amerika Syarikat, ketika suhu berada pada tahap paling panas. FIFPRO, kesatuan pemain global, memberi amaran bahawa bandar seperti Kansas City dan Miami membawa risiko kecederaan berkaitan haba pada tahap “amat tinggi”. Malah, perlawanan final sendiri dijadualkan jam 3 petang waktu tempatan di MetLife Stadium yang tiada bumbung dijangka bersuhu sekitar 28°C dengan indeks rasa sepanas 32°C, mengulangi corak yang sama sepanjang turnamen.
7. Pengenalan “Hydration Break”
Buat pertama kali, rehat hidrasi tiga minit diwajibkan pada setiap babak tanpa mengira cuaca atau lokasi stadium berbeza daripada rehat penyejukan edisi terdahulu yang hanya dilaksanakan apabila suhu melampaui had keselamatan tertentu. Walaupun FIFA menjustifikasikannya sebagai langkah kebajikan pemain, ramai peminat dan pengkritik termasuk media seperti The Guardian dan beberapa jurulatih mempersoalkan sama ada langkah ini benar-benar tentang keselamatan, atau sekadar membuka lebih banyak ruang iklan tambahan bagi penyiar. Sesetengah peminat malah menyorak protes apabila rehat diarahkan dalam perlawanan yang dimainkan di stadium berbumbung dengan penyaman udara. Situasi yang jelas tidak memerlukan sebarang “hidrasi kecemasan”.
8. Mutu Pengadilan
Walaupun dilengkapi teknologi VAR dan sistem offside separa automatik paling canggih, mutu pengadilan tetap menjadi antara kontroversi terbesar kejohanan ini. Mesir secara rasmi membuat aduan selepas kekalahan 3-2 kepada Argentina di pusingan 16 terbaik, mendakwa gol yang dibatalkan dan penalti yang tidak diberikan menguntungkan Argentina secara tidak adil. Ghana pula didakwa dinafikan penalti yang jelas menentang England, manakala Iran kecewa apabila gol saat-saat akhir menentang Mesir dibatalkan VAR. Jurulatih Australia, Tony Popovic, turut terang-terangan mengkritik pengadil Jerman Felix Zwayer selepas kekalahan menentang Amerika Syarikat, mendakwa pengadilan berat sebelah menyebelahi tuan rumah.
9. Jumlah Perlawanan yang Banyak
Pengembangan format kepada 48 pasukan turut membawa lonjakan jumlah perlawanan daripada 64 kepada 104 perlawanan peningkatan hampir 63%. Pengkritik berhujah pengembangan ini membawa lebih banyak perlawanan “tidak bermakna” (dead-rubber), jadual yang lebih panjang dan rumit, serta beban perjalanan yang lebih berat merentasi tiga buah negara yang luas. Turut dibimbangi ialah risiko “persepakatan” pada perlawanan akhir peringkat kumpulan, di mana dua pasukan berkemungkinan mengetahui dengan tepat keputusan yang membolehkan kedua-duanya layak ke pusingan seterusnya.
10. Sukan Milik Rakyat Marhaen, Kini Dimiliki Golongan Maha Kaya
Bagi kitaran kewangan empat tahun yang berakhir dengan Piala Dunia 2026 ini, FIFA menjangkakan hasil rekod sebanyak USD13 bilion. Lonjakan 45% berbanding kitaran Qatar 2022 yang meraih USD7 bilion. Hasil hak siaran dijangka mencecah USD3.9-4.3 bilion, manakala hasil tiket dan hospitaliti pula meningkat tiga kali ganda berbanding Qatar kepada sekitar USD3 bilion. Presiden FIFA, Gianni Infantino, sendiri dilaporkan menerima gaji tahunan sekitar USD6 juta. Dalam masa yang sama, harga tiket yang kian melambung menjadikan sukan yang pada asalnya milik rakyat marhaen yang membesar bermain bola di kaki lima dan padang kampung kini semakin jauh daripada capaian golongan yang sama, sebaliknya lebih mudah dicapai oleh mereka yang berkemampuan tinggi sahaja.
Pengaruh Mengatasi Budaya dan Makna
Walaupun senarai di atas panjang, ini tidak bermakna semangat sukan itu sendiri patut dipandang rendah. Disiplin dan semangat yang ditunjukkan atlet adalah satu bentuk penceritaan kepada kita, masyarakat yang cakna dan mudah terinspirasi seperti mana budaya larian yang kini menjadi fenomena telah membawa perubahan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda hari ini.
Moga lahir lebih ramai lagi atlet bertaraf dunia dari Malaysia, seumpama Datuk Lee Chong Wei, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Datuk Nicol Ann David. Kalah atau menang itu lumrah pertandingan, yang lebih penting ialah semangat dan kecekalan untuk menjadi lebih baik daripada semalam, dan itulah yang sepatutnya nilai yang diangkat dalam masyarakat.
