Caruman Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO Tidak Lagi Mandatori, Berkuat Kuasa Serta-Merta

Poster about Skim LINDUNG 24 Jam by PERKESO

LUAR PARLIMEN

Ingat kisah Firdaus? Pekerja binaan 25 tahun di Lahad Datu yang kemalangan semasa cuti, terlantar 60 hari di hospital, dan keluarganya hampir menjual tanah pusaka kerana kemalangan itu tidak dianggap “bencana kerja”?

Skim LINDUNG 24 Jam dibina khusus untuk mengelak tragedi macam ini berulang. Tapi lapan bulan selepas RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat, kerajaan buat sesuatu yang mengejutkan. Caruman yang sepatutnya melindungi semua pekerja seperti Firdaus, kini tidak lagi mandatori, berkuat kuasa serta-merta. (Sumber: Berita RTM)

Ironinya, amaran tentang risiko ini sebenarnya sudah pun disuarakan bukan oleh netizen sahaja, tapi juga Ahli Parlimen sendiri.

Amaran yang sudah dibangkitkan, tapi tidak disemak

Semasa perbahasan asal di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Haji Awang Hashim, sudah menyuarakan kebimbangan: kadar caruman dijangka meningkat daripada 0.75% kepada 1.25% dalam tempoh enam tahun. Beliau tidak membantah kenaikan itu, cuma menegaskan ia tidak boleh membebankan golongan B40.

Ahli Parlimen Ledang, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, pula mempersoal nasib caruman pekerja yang tidak pernah membuat tuntutan sepanjang kerjaya, isu ketelusan yang turut tidak dijawab sepenuhnya sebelum RUU diluluskan.

Kedua-dua soalan ini dicatat, dijawab ringkas, dan RUU terus diluluskan tanpa pindaan.

Bila rakyat yang akhirnya paksa semakan

Sebaik skim ini mula memotong gaji sebenar bermula Julai 2026, keluhan mula tular di media sosial, termasuk di ruangan komen halaman sosial media, serta kritikan dari sudut kesahihan pelaksanaan di platform seperti Threads

Tekanan ini cukup besar sehingga Perdana Menteri sendiri membangkitkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan keputusan “u-turn” dibuat dalam masa kurang sebulan sejak skim mula berkuat kuasa. Bandingkan dengan lapan bulan proses perbahasan RUU yang gagal menghasilkan sebarang perubahan pada isu yang sama.

Kesimpulan: Bukan kelemahan, tapi peringatan dua hala

U-turn ini menunjukkan sesuatu yang positif dimana kerajaan cakna dan bertindak balas apabila rakyat bersuara secara meluas dan konsisten.

Tapi ia juga peringatan penting: soalan yang sepatutnya diselesaikan sebelum RUU diluluskan, soal beban B40, soal ketelusan dana. Sebaliknya hanya diselesaikan selepas ia mula membebankan rakyat, dan hanya kerana tular di media sosial.

Rakyat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Ahli Parlimen untuk menyoal setiap butiran dasar bagi pihak mereka. Kelulusan RUU bukan noktah akhir perbincangan, ia baru permulaan tanggungjawab rakyat untuk terus menyemak kesan sebenar sesebuah dasar di lapangan.