Luar Padang
Berita adidas kembali menaja Selangor FC memang menggembirakan dari sudut jenama dan warisan. Tapi sebagai peminat yang mengikuti evolusi jersi kelab, ada satu soalan yang perlu ditanya: siapa yang sebenarnya untung daripada perkongsian ini, kelab, jenama, atau peminat?
Formula Fan Engagement Selangor FC Sudah Terbukti Berkesan
Sebelum kita bercakap tentang risiko, wajar diakui bahawa Selangor FC dalam tempoh 2025/26 telah menunjukkan salah satu strategi engagement peminat paling baik dalam Liga Super Malaysia. Kelab tidak hanya bergantung pada jersi “standard” musim ke musim, tetapi aktif berkolaborasi dengan jenama tempatan yang membawa identiti jalanan dan budaya popular kepada jersi bola sepak:
- SVG x Selangor FC x Joma — koleksi limited edition yang menghubungkan estetika streetwear tempatan dengan jersi kelab.
- Jonnie’s Bodega — jenama streetwear tempatan yang dikenali dengan pendekatan sub kultus bola sepak turut menyumbang kepada budaya kolaborasi jersi/apparel yang semakin popular dalam landskap bola sepak serantau, mencerminkan trend yang turut cuba diikuti daripada kelab-kelab lain di eropah khususnya.
- AAPE x Selangor FC — dilancarkan Februari 2026, ini kolaborasi bola sepak pertama untuk AAPE (sub-label kepada jenama streetwear global BAPE). Koleksi empat keping ini menyasarkan aspek “off-pitch”. Jersi latihan bercorak kem, cap berjenama bersama, tee kolar kolej, dan carabiner bertema maskot kedua-dua jenama. Ia dijual eksklusif di SFC Club Shop secara fizikal sahaja, dengan akses awal diberi kepada pemegang Season Pass 2025/26. Ini contoh jelas bagaimana Selangor FC berjaya menarik jenama streetwear global bertaraf antarabangsa untuk berkolaborasi dengan identiti kelab tempatan. Sesuatu yang jarang dilihat pada kelab-kelab lain dalam liga ini.
Pendekatan ini bijak dari segi perniagaan. Ia mengubah jersi daripada sekadar pakaian sukan kepada item fesyen yang boleh dipakai di luar stadium. Strategi yang sudah lama digunakan kelab-kelab Eropah dan Jepun untuk menjana pendapatan di luar hari perlawanan. Untuk kelab tempatan yang bergantung berat kepada jualan jersi sebagai sumber pendapatan, ini formula yang patut dicontohi kelab-kelab lain dalam liga.
Kebimbangan Peminat: Harga
Persoalan besar yang tidak dijawab oleh kenyataan rasmi Adidas-Selangor ialah harga.
Semasa era Joma sebagai pembekal kit (sebelum ini), peminat Selangor FC menikmati kombinasi yang sukar dicari: harga jersi replika yang berpatutan, kualiti fabrik yang boleh diterima, dan yang lebih penting, kebebasan reka bentuk yang membenarkan unsur identiti tempatan dan budaya peminat terpahat dalam jersi. Koleksi seperti SVG x Joma tidak mungkin wujud dalam bentuk sebegitu bebas di bawah jenama global bersaiz Adidas, yang biasanya memegang kawalan ketat ke atas templat reka bentuk global mereka.
Adidas, sebaliknya, adalah jenama global bertaraf premium. Jersi replika adidas untuk kelab-kelab besar Eropah lazimnya berharga jauh lebih tinggi berbanding jenama serantau seperti Joma dan tiada sebab untuk jangka Selangor FC terkecuali daripada struktur harga global ini. Bagi peminat kelas pekerja yang menjadi tulang belakang sokongan padat Selangor FC di stadium, jurang harga ini bukan isu kecil.
Menariknya, corak ini sudah pun kelihatan dalam collab AAPE — dijual in-store sahaja, dengan akses awal eksklusif untuk pemegang Season Pass sebelum baru dibuka kepada orang ramai. Ini model yang biasa dalam dunia streetwear (drop culture, kekurangan stok sengaja untuk cipta hype), tapi ia juga bermakna peminat “biasa” yang tak mampu beli Season Pass Add-Ons berkemungkinan tersisih daripada gelombang pertama merchandise sebegini. Jika Adidas bawa logik jenama premium serupa ke jersi replika utama kelab, bukan sekadar koleksi kapsul sampingan maka jurang antara peminat “boleh beli” dan “tak mampu beli” berisiko melebar.
Persoalan yang patut ditanya sekarang:
- Adakah Adidas akan benarkan ruang kolaborasi tempatan seperti yang dinikmati peminat di bawah Joma, atau adakah templat global akan menghadkan kebebasan reka bentuk?
- Berapa harga jangkaan jersi replika dan adakah ia mampu milik untuk majoriti peminat tempatan?
- Adakah pertukaran jenama ini mengutamakan prestij jenama berbanding aksesibiliti peminat?
Kesimpulan: Bangga, Tapi Waspada
Sebagai peminat, wajar kita raikan kembalinya jenama Adidas dalam kancah bola sepak negara. Ada nostalgia dan prestij yang datang bersama nama itu. Tapi loyalti peminat Selangor FC yang “menang dengan gaya” walaupun tak selalu menang di padang, tak patut ditukar dengan harga jersi yang menyukarkan mereka untuk terus menyokong dengan bangga di dalam dan luar stadium.
Kelab perlu pastikan formula fan engagement yang sudah terbukti berjaya iaitu kolaborasi tempatan, harga munasabah, kebebasan reka bentuk tidak dikorbankan demi logo tiga jalur sahaja.
Ruangan ini mewakili pendapat penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Luar Dalam.
