Luar Peranti
ANALISIS/PANDANGAN: Artikel ini merupakan analisis dan pandangan penulis berdasarkan sumber-sumber awam yang disebut sepanjang teks. Ia tidak mewakili kenyataan rasmi Apple Inc. atau mana-mana pihak yang dinamakan.
Pada 1 April 2026, Apple genap 50 tahun. Apa yang bermula sebagai sebuah syarikat garaj ditubuhkan oleh Steve Jobs dan Wozniak, kini menjadi salah satu syarikat paling bernilai di dunia. Sejak penubuhannya pada 1 April 1976, Apple didorong oleh kepercayaan bahawa kemajuan datang daripada mereka yang mencabar konvensyen dan membayangkan apa yang mungkin. Sempena ulang tahun ke-50 ini, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, turut mengakui betapa “luar biasa”nya pencapaian ini apabila beliau menyemak semula arkib lama dan produk-produk yang telah mengubah cara dunia berinteraksi dengan teknologi.
Tetapi separuh abad bukan sekadar tentang nostalgia. Ia juga saat yang sesuai untuk bertanya: apa sebenarnya yang menjadikan Apple begitu berpengaruh dan berapa lama lagi ia mampu mengekalkan kedudukan itu?
5 Produk yang Mentakrifkan Legasi Apple
1. Macintosh (1984)
Sebelum Mac, komputer peribadi dikawal sepenuhnya menerusi baris arahan teks. Pada 1984, Steve Jobs memperkenalkan Macintosh, komputer pertama yang berjaya dipasarkan secara besar-besaran dengan antara muka grafik (GUI). Asas kepada cara hampir semua komputer beroperasi hari ini, termasuk Windows.
2. iPod (2001)
Pada ketika industri muzik digital masih huru-hara akibat perkongsian fail haram, iPod muncul dengan janji ringkas: membawa keseluruhan koleksi lagu anda dalam satu peranti kecil yang muat di dalam poket. Ia bukan sekadar pemain MP3 pertama, tetapi yang berjaya menjadikan muzik digital sesuatu yang mainstream dan menguntungkan semula bagi industri rakaman.
3. iPhone (2007)
Jika Mac mentakrifkan komputer peribadi dan iPod mentakrifkan muzik mudah alih, iPhone mentakrifkan telefon pintar moden secara keseluruhan. Ia menghapuskan papan kekunci fizikal, memperkenalkan konsep “telefon sebagai komputer poket”, dan meletakkan asas kepada ekonomi aplikasi yang kini bernilai berbilion dolar.
4. Gerak Isyarat Multi-Touch
Selalu tersorok di sebalik bayang-bayang iPhone, teknologi multi-touch seperti cubit untuk zum, leret untuk tatal, ketik dua kali untuk fokus adalah revolusi yang jarang diberi pengiktirafan sewajarnya. Bahasa gerak isyarat ini kini menjadi standard industri, digunakan bukan sahaja pada telefon pintar tetapi juga tablet, komputer riba dan skrin sentuh awam di seluruh dunia.
5. Ekosistem yang Mulus
Produk kelima dalam senarai ini bukan satu peranti, tetapi bagaimana semua peranti Apple berfungsi sebagai satu kesatuan. Ambil gambar di iPhone, ia terus muncul di Mac. Salin teks di iPad, tampal di MacBook. Ciri seperti Handoff, AirDrop dan iCloud menjadikan peralihan antara peranti hampir tidak kelihatan dan inilah sebenarnya kelebihan daya saing Apple yang paling sukar ditiru oleh pesaing, kerana ia memerlukan kawalan penuh ke atas perkakasan dan perisian serentak.
Adakah Kegemilangan Ini Akan Berterusan?
Di sebalik pencapaian 50 tahun ini, Apple sedang menghadapi beberapa tekanan serentak yang jarang berlaku dalam sejarahnya dari kos pengeluaran, kebergantungan teknologi, sehingga tekanan mahkamah antarabangsa.
Cabaran 1: Krisis Cip Memori Global
Permintaan besar-besaran daripada syarikat AI untuk cip memori dan storan telah mencetuskan apa yang digambarkan Cook sendiri sebagai “banjir sekali dalam 100 tahun”. Sesuatu yang tidak pernah beliau saksikan dalam mana-mana bidang sepanjang lebih 40 tahun kerjayanya. Pusat data dijangka menggunakan kira-kira 70% daripada bekalan cip memori global pada 2026, meninggalkan hanya 30% untuk telefon pintar, komputer riba, tablet, konsol permainan dan kenderaan sementara harga cip DRAM dan NAND melonjak lebih 300% tahun ini.
Kesannya sudah pun dirasai. Apple menaikkan harga keseluruhan barisan Mac dan iPad pada Jun 2026, dengan kebanyakan model popular naik 20% atau lebih. MacBook Air asas kini berharga AS$1,299 berbanding AS$1,099 sebelum ini, manakala MacBook Pro termurah naik daripada AS$1,699 kepada AS$1,999. Menurut penganalisis firma penyelidikan TechInsights, model iPhone 18 asas mungkin mengalami kenaikan harga AS$50 hingga AS$150, manakala varian Pro berpotensi naik sehingga AS$200 apabila model baharu dilancarkan lewat tahun ini.
Cabaran 2: Pergantungan kepada Google untuk Kuasa AI
Selepas bertahun-tahun Siri dikritik kerana ketinggalan berbanding pembantu AI pesaing, penyelesaian Apple bukan datang sepenuhnya daripada dalaman. Apple dilaporkan membayar Google kira-kira AS$1 bilion setahun untuk menggunakan model Gemini tersuai berkapasiti 1.2 trilion parameter bagi menggerakkan Siri yang baharu. Bagi sebuah syarikat yang sentiasa bangga dengan kawalan penuh ke atas perkakasan dan perisiannya sendiri, ini satu pengakuan senyap bahawa model AI dalaman Apple masih belum mampu bersaing pada skala yang sama sekali gus mewujudkan pergantungan strategik baharu kepada pesaingnya sendiri dalam pasaran peranti.
Cabaran 3: Tekanan Regulator di Eropah dan Amerika Syarikat
Kawalan ketat Apple ke atas App Store turut menjadi sasaran utama regulator antitrust global. Pada awal Julai 2026, Mahkamah Am Kesatuan Eropah (EU General Court) menolak rayuan Apple terhadap status “gatekeeper” yang dikenakan ke atas App Store dan iOS di bawah Akta Pasaran Digital (Digital Markets Act) EU. Apple masih boleh merayu keputusan ini di peringkat Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah, sambil turut mencabar penalti berasingan bernilai €500 juta berkaitan pelanggaran DMA.
Di Amerika Syarikat pula, Apple turut terikat dengan keputusan mahkamah lebih awal hasil tindakan Epic Games. Mahkamah Daerah California mendapati beberapa peruntukan dalam Garis Panduan Semakan Aplikasi Apple melanggar undang-undang persaingan tidak adil negeri California, lalu mengeluarkan injunksi yang menghalang Apple daripada menyekat pembangun aplikasi daripada memasukkan pautan luar kepada kaedah pembayaran selain sistem pembelian dalam aplikasi Apple sendiri.
Peralihan Kepimpinan di Tengah Krisis
Menariknya, semua cabaran ini bertembung dengan satu lagi detik penting dimana Tim Cook akan beralih peranan daripada Ketua Pegawai Eksekutif kepada Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah Apple berkuatkuasa 1 September 2026, dengan John Ternus, Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan, mengambil alih sebagai CEO baharu. Ini menandakan berakhirnya tempoh hampir 15 tahun Cook mengetuai Apple sejak menggantikan Steve Jobs pada 2011.
Ternus mewarisi syarikat yang bernilai berbilion dolar tetapi juga mewarisi pelbagai cabaran. Seorang penganalisis dari Wedbush Securities turut menyifatkan bahawa akan ada tekanan besar ke atas Ternus untuk membuktikan Apple masih mampu menghasilkan inovasi seterusnya terutamanya dalam bidang AI.
Separa Abad Yang Gemilang
Lima puluh tahun yang lalu, dua Steve di dalam sebuah garaj membuktikan bahawa reka bentuk yang baik dan pengalaman pengguna yang mulus boleh mengubah keseluruhan industri. Hari ini, Apple berdiri sebagai bukti kejayaan itu tetapi juga sedang diuji serentak oleh kos pengeluaran yang tidak menentu, kebergantungan teknologi kepada pesaing, tekanan mahkamah antarabangsa, dan kini kepimpinan baharu yang perlu membuktikan diri.
Adakah jenama yang selama ini disanjung sebagai lambang premium dalam teknologi dengan harga yang sentiasa dijustifikasikan atas nama kualiti dan pengalaman masih mampu mengekalkan status itu apabila kos semakin meningkat dan kawalan eksklusifnya semakin dicabar oleh mahkamah serta pesaingnya sendiri? Berapa lama lagi, pada pandangan anda, Apple boleh terus menjadi standard emas industri teknologi?
Rujukan: Apple Newsroom; ABC News; Al Jazeera; Bloomberg; PBS News; MacRumors; TUAW; Axios; TechCrunch; Apple Inc. 10-Q (SEC); Apple Inc. 8-K (SEC).
