Mandat Rakyat Johor Selepas PRN 2026

A photo of Dewan Undangan negeri Johor at Iskandar Puteri

Luar Pilihan Raya

48 daripada 56 kerusi bukan kemenangan biasa tetapi mandat yang jarang diberi rakyat Johor sejak tahun 2008. Tapi lepas sambutan reda dan bilik gerakan kosong, ada satu soalan yang patut ditanya oleh rakyat Johor: Sekarang apa?

Isu – Isu Bangsa Johor

Kos sara hidup. Harga barang dapur naik, tapi gaji tak bergerak seiring. Ini bukan cerita baru, tapi bila Johor bersempadan dengan Singapura, kesan nilai tukaran mata wang dan inflasi rentas sempadan rasa lagi berat untuk keluarga B40 dan M40.

Harga hartanah yang meroket. Iskandar Puteri, Bandar Dato’ Onn, serta kawasan berhampiran JB, harga rumah naik mendadak akibat pelaburan dan spekulasi, sementara belia tempatan makin sukar nak beli rumah pertama di kampung halaman sendiri.

Gaji lestari dan peluang kerjaya. Ramai pekerja Johor pilih menyeberang ke Singapura demi gaji dalam Dollar Singapura, meninggalkan industri tempatan kekurangan tenaga mahir. Soalannya: bila Johor nak bina ekosistem kerja yang buat rakyat sendiri tak perlu keluar negeri cari rezeki? Adakah pembinaan Data Center cukup untuk menampung kelangsungan kerjaya masyarakat di Johor?

Kesesakan lalu lintas JB-Singapura dan lebuh raya PLUS. RTS Link dijangka beroperasi tak lama lagi, tapi kesesakan di laluan sempadan dan tol PLUS masih jadi keluhan harian golongan marhaen. Ini bukan sekadar soal keselesaan tetapi ia soal produktiviti dan masa berkualiti bersama keluarga yang hilang setiap hari di dalam kereta.

Soalan Peruntukan Persekutuan

Sebelum PRN lagi, isu ini dah panaskan suasana: Tunku Mahkota Johor (TMJ) bertitah bahawa Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, tapi hanya menerima kembali sekitar RM2 hingga RM3 bilion untuk menampung keperluan hampir 5 juta rakyat negeri itu. Baginda turut mencadangkan sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip patut dipulangkan kepada negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memberi gambaran berbeza. Merujuk rekod Kementerian Kewangan bagi tempoh 2023-2025, hasil sebenar yang dikutip persekutuan daripada Johor adalah RM14 bilion, manakala Johor menerima kembali RM16 bilion dalam bentuk projek pembangunan dan peruntukan pengurusan.

Dua angka, dua skop pengiraan yang berbeza. RM40 bilion TMJ anggaran jumlah keseluruhan aktiviti ekonomi dan hasil kasar Johor setahun, manakala RM14 bilion PMX adalah cukai sebenar yang benar-benar masuk ke perbendaharaan persekutuan. Tapi lepas ketepikan angka mana yang “betul”, ada satu perkara yang lebih penting rakyat Johor patut tanya sendiri:

Bagaimana Kerajaan Negeri Johor menggunakan peruntukkan yang disediakan?

Bantuan atau Pembangunan Lestari?

Ini soalan yang patut ditanya terus-terang kepada kerajaan negeri yang baru dilantik semula: adakah peruntukan yang diterima sehingga RM16 bilion dalam tempoh 2023-2025 seperti disebut PMX, atau apa jua jumlah yang bakal diterima tahun-tahun akan datang, digunakan untuk inisiatif jangka panjang, atau sekadar bantuan tunai menjelang penghujung penggal seperti Bantuan Kasih Johor dan Skim Beli Rumah Pertama?

Bantuan sebegini penting dan membantu meringankan beban seketika. Tapi bantuan bukan penyelesaian struktur. Ia tak bina sekolah baharu di Segamat, tak baiki jalan rosak di Batu Pahat, dan tak naik taraf kemudahan hospital kerajaan yang menjadi manfaat rakyat umum.

Rakyat Johor patut tanya soalan lebih tajam kepada wakil yang baru sahaja diberi mandat besar ini:

  • Berapa peratus peruntukan negeri disalurkan kepada pembangunan infrastruktur jangka panjang, berbanding bantuan tunai sekali sekala?

Suarakan Hak Anda, Bukan Hanya Waktu Pilihan Raya

Mandat besar BN di Johor bermakna kerajaan negeri ada ruang politik yang cukup kukuh untuk buat keputusan berani, bukan sekadar keputusan selamat. Justeru, tanggungjawab rakyat pun tak berhenti selepas mengundi.

Kepada rakyat Johor: apa lagi yang korang nak tuntut daripada wakil yang baru menang ini? Kos sara hidup, harga rumah, gaji, jalan raya atau ada isu lain yang lebih dekat dengan kehidupan harian korang yang patut diserlahkan?

Jangan tunggu pilihan raya seterusnya untuk bersuara. Kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya dengar rakyat sepanjang penggal dan bukan sekadar semasa musim berkempen.