Dalam Skrin
Satu lagi produksi Astro Originals berjaya mencuri tumpuan penonton Malaysia, kali ini menerusi siri thriller psikologi, Good Boys Go To Heaven. Ditayangkan bermula 8 Mei sehingga 26 Jun 2026 di Astro Ria, dengan tayangan turut disiarkan di Astro Ceria, serta boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.
Siri ini dibintangi barisan pelakon popular tanah air termasuk Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson, Amerul Affendi, Firdaus Karim, Sky Iskandar dan Mila Mohsin.
Kisah Yasser dan Ahyan
Good Boys Go To Heaven mengisahkan Yasser, seorang bapa yang menghadapi mimpi ngeri paling ditakuti setiap ibu bapa apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum jasadnya ditemui dalam keadaan tragis akibat dibunuh. Tanpa alibi kukuh dan berdepan pergolakan rumah tangga, Yasser sendiri menjadi suspek utama, memaksanya menjalankan siasatan sendiri untuk membersihkan namanya.
Tema utama siri ini berkisar tentang kehilangan kanak-kanak dan kesan trauma ke atas mangsa dan keluarga, isu yang menurut pihak produksi bukan sekadar elemen dramatik, tetapi refleksi kepada realiti masyarakat hari ini. Episod-episod kemudian turut mendedahkan lapisan gelap tambahan dalam plot, termasuk pendedahan tentang watak bapa Yasser sendiri, sebahagian daripada rangkaian rahsia yang cuba dirungkai sepanjang siri.
Penggambaran mengambil masa 52 hari, dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang dan negeri Perak, manakala “Kuala Makar” yang kerap disebut netizen sebenarnya nama pekan fiksyen dalam cerita, bukan lokasi sebenar penggambaran.
Di Sebalik Tirai: Pengarah dan Penulis
Good Boys Go To Heaven diarahkan oleh Ariff Zulkarnain, yang sebelum ini mengarahkan siri fenomena One Cent Thief. Skrip pula digarap oleh Mira Mustaffa, pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia yang sebelum ini dikenali menerusi karya seperti Nur Kasih, Cinta dan Sepi. Dalam projek ini, Mira turut bertindak sebagai showrunner, memastikan hala tuju penceritaan kekal konsisten. Produksi pula dikendalikan oleh Indigo Film.
Strategi 8+2 Episod
Disebabkan sambutan menggalakkan, Astro turut menyiarkan siri ini di Netflix. Menjadikannya lebih mudah diakses penonton yang tidak melanggan Astro. Siri ini mengandungi 8 episod utama yang turut disiarkan di Netflix, ditambah 2 episod bonus yang hanya boleh ditonton di Astro dan Sooka. Pendekatan ini turut menjana perbincangan hangat dalam kalangan peminat di media sosial mengenai episod bonus yang menyajikan pengakhiran yang berbeza.
Astro dan Kepelbagaian Genre
Astro terus menunjukkan komitmennya mengangkat karya berlainan genre menerusi label Astro Originals termasuk One Cent Thief, Kudeta, Project High Council, Generasi Perfect 10, I.D, DO[S]A, dan siri animasi Kisah Bawah Tanah. Bagi peminat drama Malaysia yang mengutamakan kualiti penceritaan, Good Boys Go To Heaven wajar disenaraikan dalam senarai tontonan anda.
