Dewan Rakyat Lulus RUU Keselamatan Sosial Pekerja: Ahli Parlimen Desak Penjelasan Skim LINDUNG 24 Jam

Ahli Parlimen membentangkan RUU Keselamatan Sosial Pekerja

DALAM PARLIMEN

Jutaan rakyat Malaysia bangun awal setiap pagi untuk mencari rezeki di kilang, di pejabat dan di jalan raya. Tapi ada satu hakikat yang jarang diperkatakan: apa nasib mereka bila kemalangan menimpa di luar waktu kerja?

Kisah ini dikongsikan di Dewan Rakyat pada 2 Disember 2025, semasa perbahasan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 dan ia menjelaskan dengan tepat kenapa pindaan ini penting.

Kisah Firdaus

Muhammad Firdaus, 25 tahun, baru sebulan bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Lahad Datu. Pada hari cutinya, dia memandu pulang menziarahi ibu bapa yang uzur. Jam 3 pagi, 10 September 2025, dalam perjalanan yang sunyi, keretanya terbabas.

Firdaus cedera parah: kedua-dua tulang radius patah, kecederaan pergelangan kaki, trauma dalaman sehingga tidak sedarkan diri. Dia terlantar 60 hari di hospital.

Masalahnya, kemalangan ini berlaku di luar waktu kerja. Di bawah undang-undang sedia ada, ia diklasifikasikan sebagai bukan bencana kerja. Firdaus tidak layak menerima sebarang faedah PERKESO di bawah Skim Bencana Kerja.

Kos pembedahan puluhan ribu Ringgit ditanggung sepenuhnya oleh keluarga. Majikan hanya mampu bagi cuti sakit bergaji secara ihsan, untuk tempoh terhad. Ibu bapanya yang sudah uzur hampir terpaksa menjual tanah pusaka demi membiayai rawatan anak mereka.

Jurang yang cuba ditutup

Kisah Firdaus bukan kes terpencil. Menurut statistik PERKESO yang dibentangkan di Dewan, antara 2023 hingga Oktober 2025, sebanyak 12,306 tuntutan ditolak kerana diputuskan sebagai bukan bencana kerja. Ini bermakna puluhan ribu pekerja dan keluarga terpaksa menanggung sendiri kos perubatan dan pemulihan.

Inilah sebab Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), atau Skim LINDUNG 24 Jam, diperkenalkan.

Berapa kos Skim LINDUNG 24 Jam & berapa manfaatnya?

Kalau skim ini wujud ketika kemalangan Firdaus, dengan gaji RM1,700 sebulan, carumannya hanya RM12.35 sebulan bersamaan 41 sen sehari. Dengan itu dia layak untuk:

  • Elaun hilang upaya sementara: RM26.40 sehari, sehingga RM4,752 untuk 180 hari cuti sakit
  • Faedah hilang upaya kekal (jika berlaku): bayaran pukal sehingga RM30,000, ditambah RM712.80 sebulan seumur hidup
  • Elaun layanan sentiasa: RM500 sebulan
  • Rawatan perubatan dan pemulihan percuma, tanpa had, mengikut Akta Fi

Bandingkan dengan insurans persendirian yang boleh mencecah RM200–RM300 sebulan untuk perlindungan setara.

Bagaimana Skim LINDUNG 24 Jam dilaksanakan

Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad, menjelaskan skim ini mandatori kepada semua pekerja di bawah Akta 4, dengan caruman dipotong daripada gaji pekerja dan disalurkan majikan kepada PERKESO.

Kadar caruman dilaksanakan secara berperingkat mengikut tiga fasa: bermula 0.75% (RM12.35 bagi gaji minimum RM1,700, sehingga RM44.65 bagi siling gaji RM6,000). Kaedah ini bertujuan mengurangkan impak kewangan secara drastik kepada pekerja.

Soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen

Tidak semua terus bersetuju tanpa soalan.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, mempersoalkan nasib caruman pekerja yang tidak pernah membuat tuntutan sepanjang kerjaya mereka. Di bawah model dana terkumpul, wang tersebut tidak dikembalikan secara automatik, dan tiada peruntukan jelas dalam pindaan ini mengenainya.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Haji Awang Hashim, pula membangkitkan kadar caruman yang dijangka meningkat daripada 0.75% kepada 1.25% dalam tempoh enam tahun. Ini bermakna pekerja bergaji RM1,700 bakal mencarum RM20.60 sebulan menjelang tahun keenam. Beliau tidak membantah kenaikan itu, tetapi menegaskan ia tidak boleh membebankan golongan B40.

RUU Keselamatan Sosial Pekerja Diluluskan

Selepas perbahasan fasal demi fasal, RUU ini dibacakan kali ketiga dan diluluskan tanpa pindaan pada sesi tersebut.

Bagi Firdaus dan puluhan ribu pekerja seperti beliau, RUU ini bermakna satu perkara mudah: kemalangan di luar waktu kerja tidak lagi bermakna keluarga jatuh miskin dalam sekelip mata.