5 Ciri Baharu iOS 27 yang Bakal Hadir kepada Pengguna iPhone

New Siri Ai coming in iOS 27

Dalam Peranti

Apple memperkenalkan iOS 27 semasa persidangan pembangun WWDC 2026 pada 8 Jun lalu, dan versi beta pembangun telah pun boleh diuji sejak hari itu. Kini, versi beta awam sudah dibuka kepada orang ramai, bermakna sesiapa yang berminat boleh mencubanya lebih awal sebelum kemas kini rasmi dilancarkan pada iPhone di seluruh dunia yang dijangka sekitar bulan September ini bersama barisan iPhone terbaharu.

Berbeza daripada iOS 26 yang membawa perubahan reka bentuk besar-besaran menerusi bahasa reka bentuk Liquid Glass, iOS 27 lebih tertumpu kepada penambahbaikan banyak ciri kecil yang telah lama dinanti-nantikan pengguna, di samping satu perubahan besar pada Siri.

Berikut ialah lima ciri baharu utama iOS 27 berdasarkan pengujian langsung beta pembangun oleh YouTuber teknologi, Marques Brownlee (MKBHD).

1. Sistem Keseluruhan Jauh Lebih Pantas

Ciri paling ketara dalam iOS 27 bukanlah sesuatu yang boleh dilihat, tetapi dirasai. Apple mendakwa peningkatan besar dari segi kelajuan termasuk foto dimuatkan ke dalam galeri sehingga 70% lebih pantas selepas mengambil gambar, aplikasi dibuka sehingga 30% lebih laju, dan AirDrop berfungsi sehingga 80% lebih pantas.

Peningkatan ini lebih ketara pada iPhone lama berbanding model terkini yang sedia pantas. Dengan penjadual CPU yang dioptimumkan semula, telefon lama turut mendapat manfaat prestasi yang besar. Menariknya, iOS 27 dilaporkan menyokong peranti sehingga ke belakang iPhone 11 (2019) walaupun beberapa laporan awal turut membincangkan kemungkinan keperluan minimum iPhone 12 ke atas, jadi senarai peranti yang disokong secara rasmi mungkin berbeza sedikit apabila kemas kini penuh dilancarkan nanti.

2. Siri Diberi Nafas Baharu, Dikuasakan Google Gemini

Ini mungkin perubahan paling signifikan dalam iOS 27. Selepas hampir sedekad dikritik kerana ketinggalan berbanding pembantu AI lain, Siri menjalani rombakan besar-besaran. Menurut beberapa laporan, Apple memeterai perjanjian dengan Google untuk menggunakan model Gemini bagi menggerakkan keupayaan AI Siri yang baharu, dengan anggaran kos lesen sekitar AS$1 bilion setahun.

Antara ciri baharu Siri:

  • Reka bentuk baharu: muncul daripada Dynamic Island dalam bentuk animasi seakan bola kristal, dan boleh dikembangkan menjadi tetingkap perbualan penuh atau aplikasi Siri yang berasingan lengkap dengan sejarah perbualan.
  • Suara lebih semula jadi : lebih ekspresif dan boleh disesuaikan (contohnya kelajuan pertuturan).
  • Perbualan lebih kontekstual: Siri kini boleh mengekalkan konteks untuk soalan susulan, seperti pembantu AI lain di pasaran.
  • Akses kepada data peribadi di telefon: termasuk mesej iMessage, e-mel, kalendar dan foto, membolehkan Siri menjawab soalan seperti barang yang pernah dihantar seseorang atau lokasi yang pernah dilawati, terus daripada data sedia ada di telefon.
  • Mod Siri pada kamera: membolehkan pengguna mengambil gambar terus dalam Siri dan bertanya soalan tentang imej tersebut, hampir menyerupai fungsi carian visual.

Namun, ciri ini masih mempunyai had. Buat masa ini, Siri belum dapat mengakses data daripada aplikasi pihak ketiga seperti WhatsApp, Telegram atau Gmail. Pembangun aplikasi perlu menghantar kemas kini masing-masing untuk membenarkan Siri “melihat” data dalam aplikasi mereka, sesuatu yang dijangka lebih ketara berlaku menjelang pelancaran rasmi pada September.

3. Peningkatan Estetik pada Antara Muka

Walaupun Liquid Glass yang diperkenalkan pada iOS 26 masih dikekalkan, iOS 27 membawa beberapa penambahbaikan visual:

  • Ikon skrin utama kelihatan lebih kemas, dengan teks dan bayang yang lebih jelas dibaca.
  • Tab Appearance yang baharu pada aplikasi rasmi Apple kini menyediakan penggelangsar (slider) untuk mengawal tahap kelegapan Liquid Glass daripada lebih legap dan buram sehingga lebih lut sinar.
  • Pilihan jam padat (compact clock) baharu pada skrin kunci.
  • Reka bentuk carian leret-turun pada skrin utama kini digabungkan bersama Siri.

4. Ciri Kecil yang Akhirnya Tiba

Beberapa permintaan lama pengguna iPhone akhirnya dipenuhi dalam iOS 27:

  • Volume penggera berasingan daripada volum sistem keseluruhan.
  • Pertukaran rangkaian lebih lancar. iPhone kini lebih pantas beralih daripada Wi-Fi lemah kembali ke data selular.
  • CarPlay: pengguna kini boleh mengimbas (scrub) garis masa media semasa dalam paparan “Now Playing”.
  • AirPods: mendapat penyama (equalizer) tiga jalur yang boleh disesuaikan sendiri, khusus untuk model dengan cip H2 ke atas.

5. Ciri Sunting Foto Baharu

Aplikasi Photos turut mendapat dua alat penyuntingan baharu menggunakan AI generatif:

  • Extend: melebarkan tepi sesuatu foto ke mana-mana arah, berguna untuk menukar nisbah aspek imej tanpa memotong bahagian penting.
  • Spatial Reframe: membolehkan pengguna menyeret dan mengubah sudut pandangan seolah-olah kamera digerakkan selepas gambar diambil, dengan AI menjana piksel baharu bagi bahagian yang tidak kelihatan asalnya.

Kedua-dua ciri ini memerlukan sambungan internet kerana ia bergantung pada pemprosesan awan, dan buat masa ini hanya dibenarkan sekali sahaja bagi setiap foto.

Ciri iOS 27 Tambahan Lain

Selain lima ciri utama di atas, iOS 27 turut membawa beberapa penambahbaikan lain seperti butang carian nilai pemakanan pada foto makanan, aplikasi Passwords yang boleh mengesan dan menukar kata laluan lemah secara automatik, keupayaan mencipta pintasan (Shortcuts) hanya dengan menaip arahan bahasa biasa, serta sokongan balasan berbenang (threaded replies) dalam iMessage untuk perbualan dengan pengguna Android.

Bila iOS 27 Akan Tiba?

Versi beta awam iOS 27 sudah tersedia untuk diuji sekarang, manakala versi rasmi dijangka dilancarkan pada September ini bersama iPhone model terbaharu. Seperti biasa, versi beta berpotensi tidak stabil sepenuhnya jadi lebih selamat mencubanya pada peranti sekunder berbanding iPhone utama harian anda.