Luar Skrin
“Siapa yang bunuh Ahyan?” satu persoalan yang bermain berulang kali di ciapan-ciapan netizen sejak beberapa minggu lalu. Apabila sebuah drama bersiri berjaya membuatkan penonton tertanya-tanya sehingga tamat, itu sendiri sudah satu kejayaan naratif.
Inilah yang berlaku kepada mereka yang mengikuti Good Boys Go To Heaven, siri Astro Originals arahan Ariff Zulkarnain dan ditulis oleh Mira Mustaffa selaku showrunner. Dan peminat mula mengunjungi kawasan-kawasan penggambaran drama ini sebagai satu memori.
Apabila Sinematografi & Cerita Berjaya Buka Ruang Perbualan Yang Sukar
Pada permukaan, ini kisah kehilangan seorang kanak-kanak yang kemudiannya ditemui dalam keadaan disangka lemas (ibarat satu tragedi yang kita ketahui tidak lama dahulu). Namun post-mortem membongkar sesuatu yang jauh lebih kejam, dan dari situlah drama ini mula menyelak lapisan demi lapisan cerita yang berat untuk dihadam, tetapi wajar ditayangkan. Cerita tentang trauma kanak-kanak, penderaan, dan kesan dendam yang dipendam terlalu lama.
Topik taboo yang dibawa oleh penerbit dan pengarah berjaya dipersembahkan menerusi lakonan penuh ekspresi oleh setiap watak, sesuatu yang tidak mudah dicapai apabila subjek yang dibawa sesensitif ini.
Senarai Lokasi Penggambaran Drama Good Boys Go To Heaven
Satu aspek yang wajar dititikberatkan oleh mana-mana filem atau drama tempatan ialah sinematografi dan lokasi penggambaran. Good Boys Go To Heaven berjaya meromantiskan Bukit Merah dan Taiping di Perak, kawasan sebenar yang menjadi latar kepada pekan fiksyen “Kuala Makar” dalam cerita tersebut, termasuk suasana tasik bersama yang menjadi salah satu babak paling diingati peminat.
Hasilnya, lokasi penggambaran ini tular di media sosial, dengan ramai peminat teruja untuk melawat, bergambar dan mengimbau semula babak-babak dalam drama tersebut. Sesetengah peminat malah membandingkannya dengan fenomena Hobbiton di New Zealand (kesan Lord of the Rings) dan Gangneung di Korea Selatan (kesan drama popular Korea). Satu petunjuk bahawa Malaysia turut berpotensi mencipta fenomena “pelancongan filem” tersendiri. Ini secara tidak langsung berupaya meningkatkan tarikan pelancong domestik dan membuka mata orang luar terhadap keindahan geografi negara kita.
1. Trailhead Changkat Asam, Bagan Serai Perak
Lokasi mayat Ahyan dijumpai selepas sehari proses pencarian dilakukan oleh penduduk Kuala Makar.

2. Tugu Ikan, Bagan Serai Perak
3. Sekolah Kebangsaan St George 1 , Taiping (SK Kuala Makar)
Lokasi penggambaran sekolah Ahyan dan Mia yang menyaksikan mereka mewakili sekolah dalam perlawanan Bola Sepak sebelum tragedi kehilangan Ahyan berlaku.

4. Rubber Research Institute of Malaysia, Jalan Ampang (Unit Khas Jenayah (UKJ))
Ibu pejabat polis yang menjadi kawasan di mana Yasser ditahan dan disoal siasat sebagai suspek utama pembunuhan anaknya sendiri, Ahyan.
5. Kedai Serbaneka Makar, Lahat Perak.
Punca segala kejadian yang bermula di lokasi ini menjadi kawasan akhir di antara Yasser dan rakannya menutup kisah yang tidak boleh diulang lagi.

Seni Sebagai Ruang Untuk Berkomunikasi
Lebih daripada estetika dan misteri, kekuatan sebenar Good Boys Go To Heaven terletak pada keberaniannya membincangkan isu yang selama ini sering disimpan dan menjadi stigma terpendam dalam masyarakat. Seni sekali lagi membuktikan kepentingannya sebagai ruang untuk kita berkomunikasi supaya masalah sebegini diselesaikan, bukan dibiarkan berterusan dalam senyap.
